#KANSER SERVIKS ~ Jupe kerap mengigau dan meracau

JULIA Perez bersama ibunya, Sri Wulansih semasa majlis membaca al-Quran yang diadakan di rumah ibunya di Kelapa Dua, Depok, Jakarta baru-baru ini. 

 JAKARTA - Kanser serviks tahap empat yang menyerang tubuh aktres Julia Perez (Jupe) kini mula menampakkan kesan pada emosinya apabila beliau kerap mengigau dan meracau semasa tidur.

 Hal itu diberitahu oleh ibunya, Sri Wulansih yang menemani model yang juga penyanyi dangdut itu sepanjang Jupe dirawat di Rumah Sakit Cipto Mangunkusumo (RSCM), Salemba, Jakarta Pusat selama dua bulan.

 Ketika ditemui pemberita di RSCM, Sri memberitahu kesakitan yang ditanggung oleh anaknya itu menyebabkannya tidak dapat tidur lena.

 “Ya.., tidurnya tidak lena. Malah sering juga dia mengigau,” katanya.

 Selain itu, kata Sri, akibat penyakit yang tak kunjung sembuh itu, Jupe menjadi sedikit emosional dan sering marah-marah. Namun, katanya, kebiasaan marah-marah itu sudah mulai hilang.

 “Tidak (marah-marah) sudah berkurang. Kalau dia marah-marah, mungkin kerana dia merasa sakit dan dia menjadi tidak selesa.

Maklumlah, kalau orang sakit, fikirannya berkecamuk,” ujar Sri.

 Disebabkan itu, Sri seboleh mungkin mahu meluangkan masa setiap hari menemani anaknya di hospital.

 “Ya.., saya selalu ke sini (hospital). Paling tidak, saya akan menunggu sehingga Jupe tidur, selain bersembang dengannya.

Kalau kita diam saja, dia (Jupe) akan bertanya, ‘Mama mana?’” tuturnya.

 Dalam pada itu, Jupe dilaporkan baharu sahaja selesai menjalani kemoterapi terakhir pada Isnin lalu selepas tertangguh beberapa hari. – LIPUTAN6.COM/Utusan Online

No comments