#ANUGERAH ~ Rezeki Berganda Siti Nurhaliza Selepas Umum Kehamilan


ORANG kata bila berkahwin, pintu rezeki akan terbuka dengan luasnya.

Sama seperti murahnya rezeki seorang ibu yang sedang hamil.

 Itulah yang dirasa kini oleh penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza yang baru mengumumkan berita kehamilannya itu pada Jumaat lalu.

 Sehingga semalam, sudah tiga anugerah yang diterima penyanyi itu selepas berkongsi berita gembira bersama peminat.

 Sabtu lalu, sehari selepas berita kandungannya disahkan, lagu duet yang dinyanyikan Siti bersama Faizal Tahir iaitu Dirgahayu telah memenangi Anugerah Planet Muzik (APM) 2017 menerusi kategori Duo Terbaik.


Kemudian, pada malam Anugerah Silet 2017 yang berlangsung pada Isnin lalu di Jakarta, Indonesia, sekali lagi lagu dendangan Siti memenangi hati juri.

 Lagu Seluruh Cinta nyanyiannya dengan Cakra Khan diumumkan menjadi juara kategori Lagu Tema Sinetron Tersilet di Anugerah Silet 2017.

 Lagu itu telah berjaya mendapat tempat di hati netizen di sana kerana menjadi lagu tema bagi sinetron popular bertajuk Cahaya Hati.



“Alhamdulillah, saya hanya mampu memanjat kesyukuran di atas kejayaan ini. 

Saya sebenarnya diundang menghadiri kedua-dua acara itu, namun kerana keadaan saya berbadan dua, ia terpaksa ditolak. 

 “Malah, saya juga diminta membuat persembahan. Sekalipun saya tidak dapat hadir memberi sokongan, ia tetap bermakna. 

 “Saya anggap rezeki penuh makna selepas mengumumkan kehamilan,” katanya dipetik BH Online.

 Namun, Siti bukan memenangi dua anugerah sahaja.

 Semalam, sekali lagi penyanyi lagu Percayalah ini telah mendapat title Female Celebrity Entrepreneur of The Year di SME Entrepreneurship Business Award yang telah diadakan di Kuala Lumpur.


Dalam pada itu, Siti turut mengucapkan terima kasih buat peminat-peminatnya yang menjadikan dua lagu duet itu mendapat penghargaan di persada muzik Malaysia dan Indonesia. – MYNEWSHUB.CC/Aisyah Karim

 

No comments