#KENANGAN ~ Aktor Bollywood Shashi Kapoor Meninggal Dunia

Pelakon ikon veteran terkenal Bollywood, Shashi Kapoor, yang pernah muncul dalam 116 judul filem, menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 79 tahun di Mumbai.

 “Mendiang disahkan meninggal dunia pukul 5.20 petang pada 4 Disember di Hospital Kokilaben Dhirubhai Ambani selepas sehari dimasukkan,” dedah Dr. Ram Narain, pengarah eksekutif hospital berkenaan di Versova, Mumbai.

 Dalam petikan laporan portal Indian Express, legenda filem Hindi itu yang pernah menjadi produser dan sutradara; dilaporkan dimasukkan ke hospital berkenaan pada malam Ahad, bagi menjalani rawatan jangkitan paru-paru.

 Aktor tersebut pernah bertarung dengan keadaan serupa pada tahun 2014, selepas menjalani pembedahan pintas.

 Shashi Kapoor meninggalkan anak perempuan, Sanjana Kapoor serta dua anak lelakinya iaitu Kunal dan Karan.

 Merupakan anak Prithviraj Kapoor dan Ramsarni Kapoor serta adik lelaki bongsu kepada Raj Kapoor dan Shammi Kapoor, menurut media tempatan, mendiang pertama kali berlakon dalam filem Dharmputra pada tahun 1961.

 Dilahirkan dengan nama Balbir Prithviraj Kapoor di Calcutta (kini Kolkata) di wilayah Bengal pada 18 Mac 1938, beliau pernah menjadi bintang filem ‘pecah panggung’ iaitu Deewaar, Kabhi Kabhie, Aa Gale Lag Jaa dan Trishul.

 Mendiang berkahwin dengan aktres British, Jennifer Kendal pada 1958 lalu setelah dua tahun berkenalan sehingga isterinya itu meninggal dunia di London pada 1984 akibat kanser.

No comments