#TAHNIAH ~ ‘Ku Rela Dibenci’ Diiktiraf Malaysia Book Of Records


Kalau memang rezeki sudah ditentukan Allah, sememangnya tiada satu makhluk pun yang mampu menghalangnya lagi.

 Begitulah perumpamaan yang sesuai untuk lagu Ku Rela Dibenci nyanyian Aiman Tino apabila menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book Of Records.

 Aiman meluahkan rasa terharu apabila lagu hasil ciptaan bapanya sendiri, Yusri Ishak itu mencipta sejarah apabila tersenarai dalam catatan terbaharu buku rekod terbaik tempatan itu.

 Aiman berkata, dia sememangnya tidak menyangka single sulungnya itu menerima jumlah tontonan tertinggi di laman penstriman video popular YouTube sehingga layak menerima penghargaan itu.

 “Tak sangka dan terkejut apabila dimaklumkan lagu tersebut tersenarai sebagai lagu paling banyak tontonan. “Lagu itu sendiri sangat bermakna dalam hidup saya kerana di situlah bermulanya karier saya sebagai penyanyi,” katanya dipetik mStar Online.

 Menurut pemuda berusia 19 tahun ini lagi, majlis penyerahan sijil penghargaan itu akan diadakan di sebuah hotel pada 16 Januari depan.

 Ekoran itu, Aiman mengucapkan ribuan terima kasih kepada peminat dan pendengar yang sentiasa memberi sokongan meskipun lagu itu pada mulanya teruk dikecam.

 “Saya ingin berterima kasih kepada penonton di seluruh dunia yang telah menonton muzik video tersebut di YouTube. 

 “Walaupun awalnya dulu ada yang mengecam lagu Ku Rela Dibenci, saya tak boleh nafikan mereka turut menyumbangkan kepada jumlah tontonan,” katanya.

 Dalam perkembangan lain pula, penyanyi itu kini sedang sibuk mempromosikan single baru duet bersama kakaknya, Fara Hezel berjudul Terasa Cinta. 

No comments